Sabtu, 22 Januari 2011

RANGKUMAN DIARI MINGGU PERTAMA

Situasi 1

Hari ini berat sungguh kepala untuk melangkah keluar rumah membeli makanan. Walau bagaimanapun, saya terpaksa juga keluar kerana perlu menjamah sedikit makanan supaya tenaga di dalam badan ini bertambah. Saya masih lagi demam seperti semalam dan tidak ke kelas. Jam menunjukkan pukul 1.30 petang menandakan semua kedai makanan di sekitar taman perumahan ini penuh dengan para pelajar dan pekerja kilang Proton. Sampai di sana, saya dengan segera beratur untuk mengisi nasi di dalam bekas poistrin. Ya, tepat jangkaan saya tadi (kedai sudah penuh dengan manusia yang ingin mengisi perut mereka). Semasa sedang menunggu giliran, saya terdengar perbualan dua orang bakal guru dibelakang.

            Si Polan A: Adoi, lembab betoi la dorang ni.
            Si Polan B: Isi nasi ke masak nasi? Bangang!
            Si Polan A: Tokei ni pun satu. Letak le banyak sikit bekas nasi tu.

Tersenyum saya mendengarnya. Mungkin lapar sangat agaknya. Saya menjeling ke arah pelayan kedai tersebut yang kelihatan seperti biasa walaupun pelayan tersebut hanya berada di sebelah bakal-bakal guru itu. Setelah bekas polistrin diisi dengan makanan, saya terus ke kaunter untuk membayar. Semasa mengeluarkan duit dari poket, sempat saya memberi cadangan kepada pemilik kedai makanan tersebut supaya menyediakan dua bekas nasi sekali gus untuk memudahkan pelanggan agar tidak terlalu lama beratur menunggu bagi mengisi nasi. Pemilik kedai tersebut seakan-akan terkejut dan melemparkan senyuman tanpa berkata apa-apa. Saya membalas senyumannya lalu beredar dengan segera.

Sememangnya perbualan dua orang bakal guru itu tadi tidak wajar kerana mereka telah mengeluarkan perkataan yang tidak sepatutnya. Sebagai warganegara Malaysia yang berbudi bahasa, sikap ini tidak boleh ditunjukkan lebih-lebih lagi oleh bakal guru. Mereka sepatutnya perlu menunggu dengan sabar. Hal ini kerana bukan mereka sahaja yang sedang lapar, tetapi ramai lagi yang sedang beratur mengalami keadaan yang sama.

IIR: Aku yang tak larat ni pun boleh sabar. Mohon maaf kepada Dr. Siti Saniah kerana tidak hadir ke kelas   atas faktor kesihatan.


Situasi 2

Pagi ini saya kembali ke kelas. Seperti biasa, lewat merupakan amalan buruk yang biasa saya lakukan. :-) Tiba di kelas, saya diarah berdiri kerana lambat. Terasa di alam persekolahan pula tetapi pensyarah perlu hihormati. Saya dan rakan-rakan seangkatan mendengar beliau memberi nasihat sambil kami mengangguk-angguk kepala tanda mendengar nasihatnya. Selepas itu kami disuruh duduk dan ucapan terima kasih terkeluar dari mulut saya dan rakan-rakan (amalan murni itu diajar oleh ibu bapa saya). :-)  

Saya mendengar kuliahnya seperi biasa dan mencatat beberapa perkara-perkara penting di dalam buku nota. Ya, sebagai pelajar kita perlu mendengar dan menerima ilmu yang diajar, namun kadang kala tapisan juga perlu dibuat. Pada pendapat saya, terdapat satu perkara yang menyebabkan saya kurang bersetuju dengan pensyarah tersebut. Pensyarah tersebut menyatakan (mengikut apa yang saya faham) bahawa tiada guna belajar tinggi-tinggi tetapi memohon untuk menjadi seorang polis ataupun askar. Bagi saya beliau seakan-akan menghina profesion yang melindungi masyarakat di negara ini. Adakah menjadi kesalahan individu yang mempunyai pendidikan tinggi menjadi polis ataupun askar? 

Pada pendapat saya, institusi kepolisan masa kini perlu dibarisi tenaga-tenaga yang bijak supaya institusi ini mampu untuk menjadi institusi yang lebih diangkat di negara kita. Jadi, tidak perlu kita menganggap hanya mereka yang tidak layak ke universiti sahaja yang layak untuk mengisi kekosongan pekerjaan mulia tersebut. Oleh hal itu, minda perlu terbuka dan berfikir terlebih dahulu dalam menyatakan sesuatu perkara.



IIR: Pak cik aku polis. Hehe.. :-)

Situasi 3

Hari ini saya ingin berkongsi ilmu dengan rakan-rakan mengenai bahasa yang digunakan oleh remaja masa kini. Walaupun perkataan-perkataan yang digunakan kasar dan bercampur aduk,  namun ia menjadi kebisaaan masyarakat remaja hari.

 
1) Gile: Perkataan ini seolah-olah menjadi kata penguat dalam bahasa yang digunakan remaja. Contoh ayat: “Besar gile bangunan tu”. Perkataan gile itu telah menjadi kata penguat dalam ayat tersebut.

     2) I dan U: Dua huruf ini menjadi kata ganti nama diri pertama dan kedua dalam bahasa remaja masa kini. Situasi ini telah menjadi ‘trend’ untuk menunjukkan mereka pandai berbahasa Inggeris tetapi sebaliknya. Contoh ayat: “I ni tak la sehebat U”.
     

         3) Kata-kata makian dan cacian: Perkataan kasar sudah menjadi kebiasaan remaja masa kini apabila berbual dengan rakan-rakan mereka. Antara perkataan yang sering digunakan ialah sial, bodoh, bengong, bengap dan beberapa lagi perkataan kasar yang tidak dapat saya nyatakan di sini. Contoh ayat: “Bodoh sial ko ni”.
    Tidak dapat dinafikan, saya turut menjadi salah seorang remaja yang menggunakan bahasa tersebut. Jadi, sebagai seorang insan yang akan dihormati suatu hari nanti, sama-samalah kita memperbaiki bahasa yang digunakan supaya kita tidak terbawa-bawa semasa berada di sekolah nanti.



    IIR: Bahasa Jiwa Bangsa.


    Situasi 4

    Hari ini saya menonton Geanggang Raja Lawak Musim 5. Persembahan pada minggu ini amat menarik kerana temanya meniru gaya artis. Terpikat dengan Nazmi, salah seorang peserta Raja Lawak. Beliau telah meniru gaya seorang penerbit filem yang terkenal iaitu David Teoh. Geli hati melihat gelagatnya yang menggunakan pepatah Melayu untuk menghiburkan penonton. Selain itu, pelat Cina yang dipersembahkan menyebabkan saya ketawa besar. Walau bagaimanapun, semua pepatah yang digunakan telah dirosakkannya menjadikan perkara tersebut satu jenaka. Saya telah memuat naik petikan video peserta ini untuk tontonan semua dan kita perhatikan beberapa kesalahan bahasa dan pepatah yang sengaja dilakukan.



     Antara pepatah yang salah digunakan oleh peserta Raja Lawak tersebut ialah:

    1)      Air yang tenang, buaya pun tak sangka dia dalam tu.
    Pembetulan:
    Air yang tenang, jangan disangka tiada buaya.

    2)      Berbuat baik berpada-pada, sekali buat jahat jangan buat pun.
    Pembetulan:
    Buat baik berpada-pada, buat jahat jangan sekali.

    3)      Buah cempedak di luar pagar,
    ambil galah tolong jolokkan,
    kalau buah cempedak itu bukan kita punya,
    jangan la ambil.
    Pembetulan:   
    Buah cempedak di luar pagar,
    Ambil galah tolong jolokkan,
    Saya budak baru belajar,
    Kalau salah tolong tunjukkan.
      
                4)   Kalau kail panjang sejengkal, belilah yang panjang sikit.
                Pembetulan:
                Kalau kail panjang sejengkal, jangan diduga lautan yang dalam.

    IIR: Aku minat lawak si Nazmi ni. :-)

    Sabtu, 15 Januari 2011

    Selamat datang ke IIR

    Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya berharap semua berada dalam keadaan sihat sejahtera supaya kita mampu meneruskan layar kehidupan yang penuh dengan cabaran. Blog ini dibina khas oleh saya sendiri untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang pelajar subjek BML 3073 Sosiolinguistik Melayu. Walaupun agak kekok untuk membina blog ini, namun atas bimbingan rakan-rakan, Alhamdulillah Iqbal Ibn Ra'uf dapat diwujudkan.

    Detik-detik kehidupan kadang kala perlu dicatat supaya kita mampu mengenang kisah suka dan duka. Perkembangan teknologi menyaksikan blog menjadi salah satu media penyebaran maklumat masa kini. Selain penyebaran maklumat, blog turut menjadi pilihan masyarakat untuk mencatat kisah kehidupan selain buku mahupun diari.

    Penulisan blog masa kini telah menjadi perkara biasa bagi masyarakat untuk mengkritik, memberi pendapat, berkongsi ilmu dan sebagainya. Catatan harian menjadi perkara utama dalam penulisan blog untuk kursus ini. Walaupun tidak semua perkara boleh dikongsi, namun usaha ini dapat memberi pengetahuan kepada pelajar cara untuk menjadikan alam maya sebagai salah satu wahana alternatif dalam proses pembelajaran kreatif. Justeru, saya mengalu-alukan rakan-rakan untuk menjadi pengikut blog ini agar kita dapat berkongsi ilmu supaya proses ini dapat berjalan dengan lancar.




     Sengaja memilih gambar topeng ini untuk disesuaikan dengan lagu tema blog saya. :-)