Rabu, 16 Februari 2011

MINGGU KE- 3

Situasi 10

Mana budi pekerti Melayu kita?

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Tempoh cuti selama seminggu yang diberikan oleh pihak universiti sempena Tahun Baru Cina menyebabkan saya tidak tahu untuk melakukan apa-apa aktiviti. Hal ini menyebabkan katil dan meja makan menjadi ‘port’ melepak saya ketika berada di rumah. Sambil menonton televisyen saya berbual dengan emak saya, Pn. Norizam. Mak bercerita tentang perkara yang berlaku semasa saya tiada di rumah. Mak bercerita mengenai satu insiden yang berlaku semasa hari pengkebumian jenazah Ali, anak jiran sebelah kami, Cikgu Ghani. 

Sudah menjadi kebiasaan apabila berlaku kematiaan, maka orang ramai akan menziarahi arwah dan sudah kereta-kereta penduduk kampung penuh di sekitar kawasan tersebut. Pada hari itu, Lorong Guru iaitu tempat kediaman saya penuh dengan kereta sehingga menyukarkan penduduk untuk keluar dan masuk. Seorang jiran kami yang sememangnya terkenal dengan sikap kurang ajarnya itu telah bertindak keterlaluan tentang masalah kesesakan tersebut. Tanpa menghormati majlis kematiaan, pemuda ini telah membunyikan hon keretanya secara panjang bertujuan memperlihatkan rasa tidak puas hatinya terhadap mereka yang menghalang laluannya. Beberapa orang penduduk kampung termasuklah abah saya menegur pemuda tersebut supaya menghormati majlis yang sedang berlangsung. Namun, dengan angkuh, dia berkata “Pergi mampus la korang. Yang sekat jalan aku kenape?”. 

Saya terkedu mendengar cerita mak. Mengapa biadap sangat Melayu jahil itu? Emak berkata insiden itu hampir menyebabkan pergaduhan namun dapat dielakkan. Selepas mendengar cerita itu, saya berfikir, mengapa pemuda tersebut begitu angkuh dan biadap sebegitu rupa? Rasa geram bercamour sedih menyelinap di fikiran saya memikirkan sikap pemuda tersebut. Saya berkata kepada emak, “Muke die memang nampak bodoh, bila bukak mulut, sah bodoh! Emak tersengih mendengarnya.



IIR: Di mana letaknya perikemanusiaan seorang manusia?


Situasi 11

Anwarhadi

Asslamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini saya ingin berkongsi 1 video tentang seorang pemuda yang amat petah berkata dengan memberikan kritikannya terhadap penggunaan bahasa dalam kalangan remaja masa kini. Anwar Hadi. Banyak video-video beliau yang dimuat naik di dalam YouTube memberi ilmu kepada kita. Ayuh kita lihat cara beliau mengulas penyalahgunaan bahasa dalam kalangan masyarakat.



IIR: Bangga aku dengan mamat ni!

Situasi 12

Pulau Pinang

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Sebelum meneruskan catatan untuk hari ini saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada masyarakat berbangsa Cina. Semoga sambutan kali ini lebih bermakna. Hari ini hari yang penting dalam hidup saya kerana tarikh 3 Februari merupakan tarikh hari lahir saya. Genap 23 tahun. Tempoh masa 23 tahun boleh dikatakan satu tempoh yang panjang serta sudah boleh tergolong dalam golongan dewasa yang matang. Matangkah saya? Masih banyak yang perlu dipelajari bagi menempuh pelbagai lagi halangan yang bakal diuji. 

Hari ini saya berjalan-jalan di sekitar negeri Pulau Pinang. Nampaknya pelan percutian untuk menyambut hari lahir yang ke-23 agak terbantut kerana kebanyakan kedai tutup disebabkan cuti umum  sambutan Tahun Baru Cina. Walau bagaimanapun, rancangan tetap diteruskan. Selepas menyeberangi laut menaiki feri, saya dan rakan segera memilih bas untuk ke Perangin Mall. Bas Rapid Penang bernombor 2** menjadi pilihan dan tanpa menunggu lama kami terus menaiki bas tersebut.

Setelah mengambil tempat di barisan yang agak belakang kami berbual-bual mengenai kebanjiran warga asing di Malaysia. Tiba-tiba seorang Pak Cik menegur dua orang India yang duduk di belakang kami kerana mereka naik ke dalam bas malalui pintu tengah iaitu pintu yang hanya dikhaskan untuk penumpang yang ingin turun sahaja. Saya agak tekedu dengan teguran yang diberikan kerana nadanya agak tinggi yang boleh menyebabkan pergaduhan namun, perkara tersebut tidak berlaku.  Masih terngiang-ngiang dalam fikiran saya apabila pak cik itu berkata kepada dua lelaki tersebut, “Hampa tak belajaq ka kat sekolah ikut peraturan?  Kita orang Malaysia ada budi pekerti. Malu kat pelancong asing”. Kedua-dua lelaki itu hanya mendiamkan diri. Mungkin malu agaknya setelah ditegur. Tiba di satu perhentian, mereka turun. Kelihatan pak cik tadi turut turun bersama mereka. Bangga saya melihat mereka bersalaman. Mungkin memohon maaf. Mulia sungguh hati mereka.

Ulasan saya untuk situasi ini, dua orang India tersebut sememangnya telah melakukan kesalahan kerana ingin segera menaiki bas tanpa menunggu giliran. Pak cik itu telah melakukan perkara yang baik kerana menegur tetapi salah dari segi cara. Sepatutnya, teguran haruslah diberikan tanpa memalukan mereka. Saya rasa, sekiranya kedua-dua lelaki tersebut hilang sabar, pergaduhan mungkin akan tercetus.  Oleh hal yang demikian, setiap perbuatan dan bahasa yang digunakan harus sesuai dengan situasi agar tidak terjadi erkara yang tidak diingini.



IIR: Gong Xi Fa Cai!



Situasi 13


Selamat Hari Lahir

Assalamualaikum dan Salam Sehjahtera. Laman sosial saya iaitu facebook dihujani dengan ucapan-ucapan selamat hari jadi daripada rakan-rakan seperjuangan. Jutaan terima kasih saya ucapkan atas ucapan yang telah diberikan. Agak geli hati membaca ucapan-ucapan tersebut kerana ia mempunyai versi-versi yang berbeza. Selamat Hari Tua, Hepi Besorday, Selamat Hari Beranak, Selamat Meningkat Usia, dan banyak lagi. Variasi ini sudah menjadi budaya golongan muda pada hari ini. Tujuannya hanya satu: ingin mengucapkan selamat hari lahir. Setiap perkara ada pro dan kontranya. Kelihatan kreatif dan ingin menghiburkan tuan empunya diri yang menyambut hari lahir mungkin motifnya tetapi  adakah penggunaan itu sesuai digunakan ataupun tidak? Sama-samalah kita fikirkan.


IIR: Bak kata Nabil, “Lu pikirlah sendir!”.

Isnin, 14 Februari 2011

SEKITAR MINGGU KE- 2

Situasi 5

P Ramlee

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Hari ini saya ingin berkongsi satu petikan video daripada filem Seniman Bujang Lapok. Walaupun sudah beratus kali menonton filem-filem Allahyarham Tan Sri P Ramlee, sedikit pun tidak lahir rasa jemu. Hal ini menunjukkan betapa kreatifnya P Ramlee sehingga sesiapa yang menonton filemnya akan menoton kembali tanpa rasa jemu. Boleh dikatakan semua filemnya mempunyai nilai estetika yang agak tinggi. Jika diperhatikan filem-filem beliau mempunyai kaitan dengan kehidupan seharian termasuklah bahasa. Ayuh kita saksikan cara P Ramlee mengkritik orang Melayu dalam berbahasa di dalam video ini.






               IIR: Aku paling minat filem Seniman Bujang Lapuk.





Situasi 6

Oh Pemimpinku

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Sebentar tadi baru sahaja saya menonton Buletin Utama di TV3. Bermacam-macam berita dilaporkan hari ini dari dalam negara sehinggalah ke luar negara. Hari ini tiada situasi menarik yang ingin dibincangkan namun, saya ingin berkongsi rasa terkilan melihat pemimpin-pemimpin kita yang salah berbahasa ketika berucap. Perkataan ‘mereka’ telah menunjukkan makna ramai namun, ada antara pemimpin-pemimpin kita yang salah menggunakan perkataan tersebut dengan menggandakan kata ‘mereka’ itu menjadi ‘mereka-mereka’. Pada pandangan saya, kesalahan kecil ini tidak patut dilakukan oleh mereka yang bergelar Tun, YAB, YB, Tan Sri, Datuk Seri, Datuk dan sebagainya yang dijadikan ikon oleh masyarakat. Saya amat berharap agar slogan Memartabatkan Bahasa Kebangsaan tidak hanya menjadi sebutan tetapi dapat diamalkan.




                                           
       IIR: Siapa lagi nak jaga bahasa Melayu kalau bukan kita?



Situasi 7

Intelok

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Novel Interlok. Tidak perlu dijelaskan tujuan saya menulis catatan hari ini apabila bercakap mengenai novel tersebut. Novel merupakan karya sastera yang mempunyai nilai estetika yang amat tinggi. Jalan cerita mahupun pemilihan kosa kata merupakan aspek penting dalam penerimaan pembaca terhadap sesuatu karya. Oleh hal yang demikian, pada pendapat saya, Novel Interlok ini tidaklah bersifat perkauman sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pelbagai pihak. Sejarah kedatangan migran ke Tanah Melayu merupakan fakta sejarah yang tidak boleh diubah. Oleh itu, mengapa sejarah yang dipaparkan di dalam novel ini dianggap bersifat perkauman? Bagaimana dengan Masjid Kapitan Keling di Pulau Pinang? Mengapa perkataan ‘Keling” itu tidak dianggap perkauman?





                IIR: Jangan terlalu ego mempertahankan sesuatu.



Situasi 8

Ada Persamaankah?

Sebentar tadi saya berbual bersama Mamat, rakan sebilik saya yang berasal dari Kuala Berang, Terengganu iaitu sebuah kawasan yang mempunyai dialek Terengganu yang agak pekat atau sukar difahami oleh penduduk negeri lain. Mamat memberitahu saya bahawa penggunaan dialek di kawasannya mempunyai sedikit persamaan dengan penggunaan dialek di kawasan Perak Tengah (Kampung Gajah, Parit, Bota, dan sebagainya). Apa yang sama di antara kedua-dua dialek dari dua kawasan yang berbeza ini? Rupa-rupanya, vokal ‘a’ pada akhir sesuatu perkataan berubah menjadi ‘e’ taling. Sebagai contoh, perkataan ‘mana’ akan berubah menjadi ‘mane’.

Dialek Hulu Terengganu: Nak gi mane?
Dialek Perak Tengah: Nak ke mane?

Saya sangat teruja untuk mengetahui bagaimana perkara ini terjadi. Adakah secara kebetulan atau sememangnya orang Terengganu dan Perak mempunyai hubungan kebahasaan?






                        IIR: Abah aku orang Kampung Gajah. :-)



Situasi 9

Nada Suara

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Nada suara ketika bercakap merupakan tajuk yang akan saya bincangkan pada hari ini. Nada suara ketika bercakap atau berbual merupakan satu elemen penting dalam etika berkomunikasi. Nada juga dapat membezakan sesuatu perkara yang disampaikan. Nada perlu disesuaikan dengan situasi. Sebagai contoh, sekiranya sedang marah, nada suara yang lembut tidak sesuai diguna pakai. Oleh itu, apabila bercakap, kita perlu mengawal nada supaya orang lain tidak salah faham terhadap tujuan yang ingin disampaikan.


IIR: Adoi.. Dah macam buat ‘assignment’ la pulak..hehehe.. Hari ini tak ada idea. :-)