Selasa, 15 Mac 2011

Situasi 16

Pantang Larang Orang Tua

Ketika sedang menonton televisyen, rakan saya menegur, "Eh, jangan duduk atas bantal la. Bisul bontot nanti." Saya tersengih mendengar nasihatnya. Ya, memang pantang larang seperti itu telah berulang kali saya dengar ketika emak membebel di rumah. Pantang larang ini telah dijadikan nasihat oleh masyarakat dahulu untuk memberi tunjuk ajar kepada anak cucu mereka. Antara contoh pantang larang yang biasa didengar ialah:

1) Jangan duduk di atas bantal kerana boleh mengakibatkan punggung menjadi bisul.
2) Jangan potong kuku waktu malam kerana jari boleh luka.
3) Jangan keluar waktu Maghrib kerana ditakuti disorok dengan hantu.
4) Anak dara tidak boleh menyanyi di dapur kerana ditakuti lambat kahwin.

Empat pantang larang ini merupakan sebahagian pantang larang daripada nenek moyang kita. Apabila difikir-fikirkan, sebenarnya, pantang larang ini mempunyai makna-makna yang tersirat. Hal ini demikian kerana, masyarakat dahulu lazimnya akan menggunakan nasihat yang tersirat kerana ada sebab lain disebalik maksud nasihat tersebut.

1) Jangan duduk di atas bantal kerana boleh mengakibatkan punggung menjadi bisul.
Kita dilarang duduk di atas bantal kerana bantal merupakan tempat letak kepala ketika tidur. Kepala   merupakan anggota badan yang mulia. Oleh sebab itu, kita dilarang duduk di tempat yang mana tempat itu menjadi alas kepala kita. 

2) Jangan potong kuku waktu malam kerana jari boleh luka.
Pantang larang ini hanya digunakan pada waktu dahulu. Namun, terdapat juga ibu bapa atau datuk nenek yang masih mengamalkannya disebabkan sudah terbiasa. Nasihat ini digunakan pada waktu dahulu kerana ketika itu, tiada bekalan elektrik. Oleh itu, keadaan pada waktu malam hanya diterangi oleh lampu gaselin. Oleh hal yang demikian, apabila orang dahulu memotong kuku pada waktu malam, kemungkinan jarinya akan luka adalah tinggi disebabkan faktor gelap.

3) Jangan keluar waktu Maghrib kerana ditakuti disorok dengan hantu.
Waktu Maghrib merupakan waktu syaitan sedang berkeliaran. Oleh sebab itu, masyarakat dahulu akan menakut-nakutkan anak-anak mereka supaya tidak keluar dari rumah pada waku Maghrib.

4) Anak dara tidak boleh menyanyi di dapur kerana ditakuti lambat kahwin.
Pada masa dahulu, ibu bapa begitu menjaga segala perbuatan anak daranya. Hal ini kerana anak perempuan mereka sentiasa dipandang oleh masyarakat. Bagi pantang larang ini, anak dara yang menyanyi di dapur nampak seakan-akan tidak sopan dan akan memberi kesan terhadap persepsi masyarakat terhadap mereka.




IIR: Tabik dengan nenek moyang aku. 
:-)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan