Khamis, 17 Mac 2011

Situasi 30

Media Penting Angkat Bahasa Melayu
   

Media elektronik dan cetak berperanan penting dalam mengangkat martabat bahasa Melayu serta pematuhan kepada dasar penggunaannya sebagai bahasa kebangsaan seperti termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Universiti Beijing, China, Prof. Dr. Awang Sariyan berkata, media merupakan tunjang utama dalam pelaksanaan dasar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara ini. Menurutnya, peranan itu boleh dilakukan dengan memastikan bahasa yang digunakan dalam penerbitan dan penyiaran berita adalah tepat dan sempurna serta mengambil kira kesantunan. 

Usaha peneguhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah tanggungjawab semua pihak termasuk pengamal media kerana secara amnya golongan ini menggunakannya secara meluas sebagai alat berkomunikasi dengan masyarakat. Komitmen ini perlu ketika penggunaan bahasa rojak atau bahasa pasar semakin berleluasa di kalangan masyarakat Malaysia sehingga menyebabkan bahasa kebangsaan itu terus dipinggirkan.


Beliau berucap pada Wacana Ilmu: Santun Berbahasa di Dewan Cendekiawan, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) pada 14 Februari 2011.  Majlis itu bertemakan 'Isu-isu keterampilan bahasa dalam komunikasi rasmi' dengan memberi pendedahan kepada pengamal media mengenai perkembangan bahasa terutama yang melibatkan aspek hukum, nahu dan tata bahasa dalam situasi rasmi serta tidak rasmi. Awang berkata, peranan tersebut seharusnya dipikul oleh semua pihak, termasuk media kerajaan dan swasta kerana ia menjadi tanggungjawab bersama dalam usaha memperkasakan bahasa kebangsaan. 

Pihak media tidak harus menjadikan cabaran-cabaran di peringkat global dan komersial sebagai alasan untuk menggunakan bahasa Melayu secara betul. Ini kerana, bahasa lain termasuk bahasa Inggeris digunakan dengan betul sama ada dalam berita mahupun tajuk, jadi pematuhan kepada hukum bahasa Melayu itu sepatutnya diamalkan. Jelasnya, penggunaan aspek kesantunan dalam bahasa kebangsaan harus dijadikan budaya bagi masyarakat di Malaysia.

SUMBER : BERITA HARIAN, 15 FEBRUARI 2011

IIR: Menyokong usul ini sepenuhnya! 



Tiada ulasan:

Catat Ulasan